Sabtu, 21 Januari 2023

JALAN KOTA PENGKALAN RAMBAI LUNDANG


Papan tanda nama jalan ke kawasan tapak bersejarah Kota Pengkalan Rambai Lundang ini di pasang letak di salah satu cabang laluan keluar masuknya berhampiran dengan Jalan Raya Kota Bharu - Kuala Krai di Jambatan no 1 Bunut Payong (atas tebing sungai sebelah kiri jambatan Bunut Payong iaitu dari Kota Bharu ke Wakaf Che Yeh).

Pemasangan papan tanda nama jalan ini jika mengikut tarikh pada papan tanda itu ialah pada selepas daripada siapnya naik taraf penurapan kembali sebahagian dari jalan tersebut pada 6.10.2022 yang lalu yang mana sebelum ini jalan tersebut tidak pernah mempunyai papan tanda nama jalan secara khusus bahkan juga tidak pernah dilakukan permohonan pengazetan rasmi nama jalan tersebut sebelum ini.

Nama jalan yang baru digazet dan ditanda namakan pada papan tanda nama jalan sebagai "Jalan Kota Pengkalan Rambai" ini bukan dari cadangan atau usulan daripada pihak Pertubuhan PKDLK. Tetapi sebaliknya adalah inisiatif sendiri daripada pihak berkuasa negeri dibawah rancangan Sistem Maklumat Rekod - Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS). Dengan adanya papan tanda nama jalan ini dapatlah nama tempat bersejarah yang telah lama tenggelam ditelan zaman ini kembali diangkat seterusnya dapatlah masyarakat umum lebih lebih lagi pada warga mukim Bunut Payong dan Lundang serta juga di sekitarnya mengetahui dan mengenali akan wujudnya suatu ketika dahulu sebuah kota bersejarah yang sangat berkait dengan sejarah dan salasilah Kampong Lundang itu.


- Sejarah Ringkas -

Mengikut catatan sejarah Lundang, Kota Pengkalan Rambai Lundang dibina pada tahun 1762 oleh Tuan Khomis yang terkenal masyhur dengan panggilan Mandur Mis selepas daripada menerima penganugrahan daripada sepupundanya iaitu DYMM Sultan Long Yunus selaku Raja Pemerintah Kelantan bergelar sebagai Yang Dipertuan Kelantan pada ketika itu. Mandur Mis dilantik menjadi mendahari negeri dengan dikurniakan gelaran sebagai Engku Mendahari Seri Maharaja Wangsa serta dikurniakan kuasa memerintah ke atas kawasan seluruh jagat tanah Lundang.

Selepas menjunjung duli, Mandur Mis segera berangkat ke tanah Lundang bersama pengikut setia dan sekelian rakyatnya untuk membuka dan berbuat kampung dengan mendirikan kota istana tempat duduknya dimana pada waktu itu tanah Lundang dan seluruh kawasan sekitarnya masih tidak berpenghuni. Kampung dan Kota Pengkalan Rambai Lundang ini dibina dengan berhampiran dan mengadap kearah Sungai Lundang yang pada waktu itu sungai adalah merupakan laluan jalan perhubungan utama.

Rentetan seluruh kawasan kampung ini yang bentuk geografi muka buminya adalah bertanah Lundang, maka dari sini lahirlah sebuah kampung dinamai dan dikenali sebagai Kampung Lundang. Kampung ini pada zaman awalnya sudah pon menjadi sebuah kampung besar dan kependudukannya yang begitu ramai. Perkara ini sepertimana telah dinyatakan dalam sumber lama sejarah Kelantan didalam buku Ringkasan Citra Kelantan tahun 1933 karangan Dato' Perdana Menteri Paduka Raja Nik Mahmud Bin Wan Ismail (Menteri Besar Kelantan) iaitu disebut bahawa pada zaman Yg. Dipertuan Tengku Muhammad memerintah Kelantan antara dalam tahun 1795 hingga tahun 1799, Kampung Lundang pada waktu itu sudah pun merupakan sebagai sebuah "kampung besar dan rakyat pun ramai".

Mengikut catatan sejarah Lundang pula, tanda sempadan kampung Lundang adalah bermula dari Lubuk Mulong disebelah timur hingga ke cabang sungai Lundang (sekarang dalam kampong Bunut Payung berhampiran belakang Sekolah Kebangsaan Bunut Payong) disebelah barat, Tebing sungai Lundang di sebelah selatan hingga ke Padang Kenali, Padang Bayam dan Talipot di sebelah utara. Lubok Mulong adalah merupakan salah satu lubuk besar yang berada di dalam sungai Lundang dan terletak tepi sebelah kiri Jambatan Pasir Hor dari arah cabang empat Pasir Hor, Kubang Kerian menghala ke Kampong Padang Engang.

Selepas Kota Pengkalan Rambai Lundang ini siap dibina, Mandur Mis segera meninggalkan tempat persemayaman lamanya di Kota Jelasin dan berpindah untuk bersemayam di Kota Pengkalan Rambai Lundang ini. Manakala Kota Jelasin pula telah diduduki oleh baginda Long Ghaffar sementara menunggu Kota Limbat untuk siap dibina.

Bermula dari Mandur Mis, Kota Pengkalan Rambai Lundang menjadi tempat persemayaman rasmi turun temurun Raja raja Lundang (baca: pembesar Lundang) selaku salah seorang pembesar tertinggi negeri Kelantan sehinggalah selepas peristiwa bersejarah angin besar di Kelantan pada tahun 1880an apabila Raja Lundang ketika itu, iaitu Dato' Lundang telah merombak dan memindahkan Kota Pengkalan Rambai Lundang ini ke suatu tempat baharu yang terletak arah di selatan Padang Lundang yang mana sekarang sebahagian tapak kota yang baharu ini adalah terletaknya kompleks Balai Islam Lundang.

Manakala kemudian dalam dekad yang sama setelah Kota Pengkalan Rambai Lundang dirombak dan dipindahkan, tapak Kota Pengkalan Rambai Lundang dan sekitarnya bermula dari cabang Sungai Lundang hingga ke Lubuk Mabo (Jambatan Tengku Muhammad Maasom sekarang) dan ke Belukar yang merupakan sebahagian dalam Kampung Lundang telah diserahkan kepada Penghulu Salamah yang dilantik oleh Dato' Lundang untuk menjadi penghulu di Kampung Bunut Payong yang sebelum itu adalah penghulu di Kampong Lundang. Sejak dari itulah kawasan ini menjadi sebahagian dalam Kampung Bunut Payong dan kekal sehingga sekarang.

Tapak Kota Pengkalan Rambai Lundang sekarang adalah terletak dalam kawasan mukim Bunut Payong dalam Kampong Bawah Lembah Bunut Payong inilah. Mutakhir sebelum dekad 10 tahun lepas, hanya pada waktu itu segelintir dikalangan orang orang tua peringkat usia lewat 70 - 80an sahaja yang mengetahui akan kewujudan sejarah nama Pengkalan Rambai ini. Maka dengan adanya papan tanda nama jalan ini, sangat kena dan bertepatanlah tidak lain sebagai untuk mengenang akan wujudnya sebuah kota bersejarah yang telah dirombak pada 135 tahun dahulu.

Nota: Sungai Lundang sekarang digazet rasmi dan dikenali dengan nama Sungai Lubuk Mulong. Dalam banyak catatan sejarah Lundang sungai ini dahulu secara zaman berzaman dikenali dan dinamai sebagai Sungai Lundang kerana alirannya sebahagian besar melalui kawasan bertanah Lundang. Alirannya dari Sungai Kelantan melalui kuala masuknya di belakang Kota Lama (dahulunya dikenali kawasan Kota Pengkalan Leser atau Kota Galuh) berdekatan Jambatan Sultan Yahya Petra dan menghilir bersambung dengan Sungai Pengkalan Datu. Walaubagaimana pon aliran dari kualanya di Kota Lama dan Kampong Sireh sekarang telah tertimbus dan hanya menjadi sebuah parit berkonkrit sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan