Selasa, 13 Jun 2017

Teks Ucapan Alu Alauan Oleh Yg. Dipertua PKDLK Sempena Perasmian Mesyuarat Agung PKDLK Kali Yang Pertama 2015

Bismillahir Rahmanir Rahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Yang Dihormati Pengerusi Majlis, Yang Berhormat Mejar (B) Dato’ Haji Mad Anizam Bin Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan. Ybhg. Prof. Kol. (B) Dr. Wan Fauzi Bin Wan Ibrahim, Penasihat Pertubuhan Kerabat Dato’ Lundang Kelantan merangkap Pengerusi Kawasan Rukun Tetanga KRT Lundang. Ahli – ahli Jemaah Jawatankuasa Pertubuhan Kerabat Dato’ Lundang Kelantan, Waris-waris utama, Kerabat Tua-tua, tetamu tetamu Kehormat dari waris Kerabat dari Kerabat Raja Jembal, Kerabat Tuan Lembut serta hadirin hadirat ahli ahli Kerabat Dato' Lundang yang dirahmati Allah sekelian.

Terlebih dahulu saya merakamkan jutaan Terima kasih kepada Yang Berhormat Mejar (B) Dato’ Haji Mad Anizam Bin Abdul Rahman selaku Exco Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Negeri, kerana sudi hadir untuk merasmikan Mesyuarat Agong kali Pertama bagi Pertubuhan Kerabat Dato’ Lundang Kelantan atau ringkasnya PKDLK, yang mana baru sahaja telah diluluskan Pendaftarannya oleh Pihak Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 7 julai yang lepas.

Untuk makluman Yang Berhormat Dato’ serta Hadirin hadirat sekelian, Tertubuhnya PKDLK ini selain daripada matlamat bertujuan untuk memelihara dan memperjuangkan warisan sejarah yang masih tersisa dari terus tenggelam ditelan zaman,  ia juga adalah merupakan satu wadah penyatuan silaturrahim waris keturunan Al marhum Tuan Khomis Bin Tuan Kundur, yang mana selain daripada Kampung. Lundang dan kawasan sekitar daerahnya dalam Kelantan, keturunan Al marhum ini juga banyak bertebaran diluar negeri antaranya Terengganu, Johor serta negara Singgapura dan Brunei. 

Matlamat  untuk merapatkan kembali hubungan silaturahim antara waris-waris keturunan Tuan Khomis melalui penubuhan PKDLK ini bertepatanlah dengan kehendak Firman allah didalam surah An Nisa’ ayat pertama yang bermaksud; “....Wahai sekelian manusia, bertaqwalah kepada tuhanmu yang telah menjadikan kamu diri yang satu yakni Adam, dan yang menjadikan daripada Adam itu pasangannya yakni isterinya Hawa, dan yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada allah yang selalu kamu minta dengan menyebut – nyebut namanya, dan peliharalah hubungan silaturrahim diantara kaum kerabat, kerana sesungguhnya allah sentiasa memerhati kamu....”
YM. Yg Dipertua PKDLK, Tuan Haji Wan Yusoff Bin Mohd Noor (sebelah kiri gambar)

Sidang hadirin yang dihormati sekelian, Al marhum Tuan Khomis Bin Tuan Kundur yang masyhur dalam sumber-sumber lama sejarah Kelantan yang digelar Mandur Mis atau Tuk Ku Lundang adalah Tokoh yang bertangungjawab membuka dan mengasaskan Kampung Lundang ini pada tahun 1762 masehi bersamaan 1176 hijriah, iaitu dua ratus lima puluh tiga tahun yang lampau. Beliau tidak lain adalah sahabat seperjuangan kepada tiga orang tokoh penting iaitu Al marhum Yg. Dipertuan Long Yunus, Pengasas Kesultanan Kelantan sekarang yang merupakan sepupundanya, Engku Perdana Menteri Long Gaffar serta Penghulu Adas. Keempat-empat tokoh penting inilah yang meletakkan asas penyatuan Kelantan kekal berpanjangan sehingga sekarang. Dari Mandur Mis ini, maka lahirlah generasinya, menyambung legasi serta berbakti kepada negeri sekaligus pemeliharaan bagi kestabilan keamanan negeri Kelantan dengan menjawat jawatan pembesar negeri sebagai Panglima Perang bergelar Dato’ Panglima Perang Lundang, suatu jawatan tertinggi sekali dalam hirarki pemerintahan tradisional negeri Kelantan setaraf dengan Pembesar Berempat dinegeri – negeri Melayu barat.

Didalam konteks Lundang pula, selepas daripada perjanjian sulit British - Siam pada tahun 1902, Peranan yang dimainkan oleh Dato' Lundang kian terhakis sehinggalah apabila sistem Pentadbiran Tradisional Negeri Kelantan pula dimansuhkan secara rasmi pada tahun 1910, dimana sistem lama ini telah digantikan dengan suatu sistem baharu yang telah diperkenalkan oleh Penasihat British diKelantan sebagaimana yang telah dibuat pada Negeri-negeri Melayu barat. semenjak dari itu Dato' Lundang selaku pembesar tertinggi negeri merangkap sebagai Raja Lundang yang menguasai daerah Lundang sebagai Penguasa telah hilang kuasa, hak dan keistimewaan sebagai seorang Pembesar dengan menerima pencen seumur hidop sebanyak 200 Ringgit sebulan sehinggalah mangkat pada tahun 1926. selepas daripada itu dalam semua aspek kebudayaan dan sejarahnya telah mula tenggelam sedikit demi sedikit sehinggalah penghujung abad ke 20 dimana kita boleh l;ihat sejarah dan identiti Lundang telah lenyap terus dimata Sejarah.

Namun begitu, Al hamdulillah, dengan izin Allah SWT, 20 tahun lebih kebelakangan ini timbul satu usaha untuk memelihara warisan sejarahnya yang giat dilakukan beberapa aktivis Sejarah Lundang angkatan pertama yang diketuai oleh Allahyarham Cikgu Mad Abbas, dimana pada tahun 1990an, Beliau bersama-sama rakannya mengambil inisiatif dengan mengusulkan kepada pihak berkuasa tempatan supaya menukarkan nama sebatang jalanraya yang sebelumnya dipanggil Jalan Yaakubiah kepada nama Jalan Dato’ Lundang dengan nama baru ini berkekalan sehingga sekarang. dan mutakhir ini, muncul pula angkatan kedua Aktivis Sejarah Lundang terdiri dari aktivis keturunan Kerabat Dato’ Lundang yang bergerak atas nama Kerabat Warisan Wan Nik Lundang yang digerakkan oleh Sdr. Long Muhammad.

Berkat dengan kerjasama serta sokongan dan dokongan juga dari KRT Lundang yang dipengerusikan oleh Ybhg. Prof. Kol. (B) Dr. Wan Fauzi Bin Wan Ibrahim yang juga Penasihat PKDLK, beberapa usaha untuk memertabatkan warisan Sejarah Lundang telah giat dan berjaya dilakukan antaranya; Program Bicara Sejarah Lundang dengan menampilkan beberapa ahli sejarawan Kelantan yang terkenal serta Menaiktaraf nama- nama dibeberapa batang jalan dalam Kawasan Lundang dengan nama tokoh dari keturunan Mandur Mis. Untuk ini saya mengambil kesempatan mengucapkan jutaan penghargaan terima kasih atas usaha yang talah dilakukan oleh Sdr. Long Muhammad dan Ybhg. Prof. Kol. (B) Dr. Wan Fauzi Bin Wan Ibrahim selaku Pengerusi KRT Lundang atas keprerihatinan mereka dalam memertabatkan warisan Sejarah Lundang. Terima kasih diucapkan.
Bergambar kenangan bersama Yb. Dato' Mejar (B) Dato’ Haji Mad Anizam Bin Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan serta tetamu kehormat dari PKRJK Ym. Nik Abdullah Nik Talib yang merupakan Ahli Jawatankuasanya

Hadirin hadirat yang dimuliakan, akar daripada ini, maka muncullah satu inisiatif bagi mewujudkan satu Pertubuhan untuk memelihara warisan sejarah dan budayanya secara khusus serta juga untuk menyatukan kembali silaturahim dikalangan waris – waris keturunan Al-marhum Tuan Khomis Bin Tuan Kundur dibawah satu payung dengan mengadakan Kebajikan serta memprtingkatkan taraf sosio ekonomi setiap ahlinya. Hasil cetusan ini, maka lahirlah satu pertubuhan Ngo yang dikenali dengan nama “Pertubuhan Kerabat Dato’ Lundang Kelantan” atau singkatannya PKDLK. Nama Dato’ Lundang sengaja dipilih kerana bagi mengenang kembali beliau sebagai pembesar Lundang terakhir. 

Sebelum daripada Dato’ Lundang, leluhurnya dahulu adalah berpanggilan Dato’ Besar, Dato’ Mekong, Dato’ Panglima Perang dan Mandur Mis. Untuk makluman berkaitan, Inisiatif untuk menubuhkan Pertubuhan ini adalah sebenarnya cadangan daripada Sdr. Shafie Husin, guru silat yang juga Setiausha Pertubuhan Seni Silat Gayuman Segerak Kelantan atau ringkasnya PSSGSK yang banyak juga terlibat dalam usaha memertabatkan warisan Sejarah Lundang sehingga terbitnya sebuah buku khusus bagi Sejarah Lundang pada tahun lepas bertajuk; Sejarah & Tokoh Kampung Lundang, Tradisional dan Moden. kesungguhan beliau dalam usaha memartabatkan Warisan Sejarah Lundang ini juga amat dipuji dan dihargai, untuk itu juga kami dari PKDLK mengucapkan penghargaan ribuan terima kasih.

Sidang hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekelian, Sebenarnya ditempat kita yang sedang mengadakan Majlis yang cukup bersejarah ini adalah sebenarnya merupakan Tapak asal sebuah Kota tempat kediaman dua orang Pembesar Lundang iaitu tidak lain adalah Al marhum Dato’ Lundang dan Al marhum Orang Kaya Panglima Amar D’raja Lundang Wan Ishak. dikawasan inilah juga, lahirnya Silat Seni Ku Ngah yang diasaskan oleh dua orang cucunda Dato’ Lundang iaitu Ym. Al marhum Nik Abdullah dan Ym. Al marhum Nik Abdul Rahman atau lebih terkenal denagn panggilan Pak Nik Man yang telah diperturunkan ilmu oleh mahagurunya bernama Tengku Ngah Bin Tengku Jaafar, seorang Kerabat Draja Terengganu yang mengembara keKelantan. Dari Pak Nik Man, melalui murid kesayanganya, Allahyarham Husin Bin Isa inilah kemudian telah memperkembangkan lagi warisan Silat seni ini dengan mengasaskan pertubuhan silat dengan nama Pertubuhan Silat Seni Gayuman Segerak Kelantan. Dari rentetan yang telah mengingatkan kita akan kawasan ini, maka amat bersesuaianlah PKDLK mengadakan Mesyuaratnya ditempat yang cukup bersejarah ini berkesinambungan mengambil warisan salasilahnya.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mewakili PKDLK ingin merakamkan ucapan “Jazakallah Hu Khiron Kasira” dan terima kasih diatas kesudian Yang Berhormat Dato’ Haji Mad Anizam Bin Abdul Rahman kerana sudi memenuhi jemputan kami untuk merasmikan Mesyuarat Agung PKDLK bagi kali yang pertama ini, dimana ia adalah merupakan hari yang cukup bersejarah bagi PKDLK itu sendiri.



Sekian, Wa’Billahi Taufiq Wal Hi’Dayah, Wassalamualaikum w.b.k.t.

(28 syawal 1436 bersamaan 15 Ogos 2015)


ARKIB PERTUBUHAN KERABAT DATO' LUNDANG KELANTAN

‘’Mandur Mis – Tokoh Yang Tenggelam Dalam Lipatan Sejarah Perang Kota Kubang Labu II Kelantan’’


Secara umumnya bagi yang pernah mengikuti atau membaca Sejarah Kelantan pada pertengahan abad 18, terutama kepada salah sebuah episod besar yang penting, iaitu Perang Kota Kubang Labu II, yang berlaku diantara tahun-tahun 1759 hingga 1762 sudah mengetahui dan dimaklumi, bahawa apa yang tercatat dalam sejarah Perang Kubang Labu II itu telah dikaitkan dengan dua tokoh ini, iaitu Long Yunus dan Long Gafar.

Namun demikian, sebenarnya ada dua tokoh lagi yang memainkan peranan penting ini, ia tenggelam hingga kedasar yang jauh, hingga kita sekarang hanya mengenali dua tokoh ini sahaja iaitu Long Gafar dan Long Yunus, sangat mungkin keadaan ini disebabkan dek kerana Pengkaji-pengkaji ataupun Penulis –penulis Sejarah zaman lampau tidak menitik beratkan dua tokoh lagi yang tenggelam ini, atau mungkin  juga atas sebab mereka tidak menjumpai maklumat yang berkaitan. Namun demikian, natijahnya sekarang dapat kita lihat dua tokoh yang tenggelam ini hanyalah berperanan tidak lebih sebagai watak pembantu sahaja. Tidak sebagai watak penting disebabkan keadaan penulisan zaman lampau itu.

Dua Tokoh lagi yang dimaksudkan tenggelam ditelan zaman ini ialah Mandur Mis dan Penghulu Adas. Tetapi daripada dua tokoh yang tenggelam ini, Penulis ingin mengetengahkan salah seorang diantara kedua mereka sahaja, iaitu tidak lain ialah tokoh yang dipanggil Mandur Mis. Namun begitu, tidaklah Penulis membelakangkan terus tokoh yang tidak diketengahkan yang seorang lagi itu, iaitu Penghulu Adas, memandangkan Penghulu Adas namanya sebaris dengan nama Long Yunus, Long Gafar dan Mandur Mis didalam Sejarah Peperangan Kota Kubang Labu kali ke dua ini, ditambah pula ia sebenarnya tidak lain adalah merupakan adik ipar kepada Mandur Mis sendiri. 
Terkenal dengan Pangilan Mandur Mis adalah kerana pada waktu selepas beliau pulang berkelana dari Sumatra dan Lingga telah membawa pulang dengan beberapa ratus Orang Hamba terdiri daripada Orang-orang dari Lingga, lalu kemudian dipersembah kepada Raja Kelantan pada waktu itu yang merupakan Ayahnda Saudaranya bernama Long Sulaiman sebagai Hadiah. Mengenangkan persembahan Hadiah dari Anak Saudaranya itu, Maka Raja Long Sulaiman menghadiahkan kembali dengan separuh daripada persembahan Hadiah oleh Mandur Mis tadi serta meminta beliau untuk menjaga dan mengawasi Hamba- hambanya sekali bagi pihaknya. Dari sinilah maka beliau terkenal dengan pangilan Mandur Mis.

Mis ialah singkatan kepada nama sebenarnya yang bernama Tuan Khomis Bin Tuan Kundur. Ayahndanya Tuan Kundur atau Raja Long In yang Bergelar Raja Muda atau kadang kadang dipanggil juga Raja diKota Seneng ini adalah Putera sulong kepada Paduka Seri Tuan Besar Long Baha dari isteri keduanya Permaisuri Raja Pah Binti Al marhum Sultan Omar Raja Jembal. Ertinya dengan kata lain, Tuan Kundur adalah “Saudara Sebapa” dengan Raja Long Sulaiman yang telah menaiki takhta Kerajaan Kelantan selepas Ayahndanya Paduka Seri Tuan Besar Long Baha mangkat pada tahun 1733 serta Tuan Kundur sendiri pada tahun 1734. hinggalah apabila baginda mangkat dibunuh pada tahun 1756 oleh Menantunya Raja Long Abdul Rahman, yang merupakan seorang Raja yang memerintah Legeh, sebuah negeri yang bersempadan disebelah barat Negeri Kelantan yang kini terletak dalam wilayah Thailand.

Selepas Raja Long Sulaiman mangkat, Pengaruh Raja Long Abdul Rahman ini mula menguasai Pentadbiran Politik Tradisional Kelantan dengan melantik “Anak suakanya”, iaitu Long Muhammad Merajai Negeri Kelantan. namun tidak lama, Long Muhammad kemudian mati terbunuh ditangan Raja Long Abdul Rahman pula. Serangan yang turut disertai oleh angkatan Raja Negeri Reman yang diketuai puteranya bernama Long Gaffar ini terjadi disebabkan Long Muhammad telah bertindak menikam isterinya Engku Tengah iaitu Adinda kepada Raja Long Abdul Rahman sendiri serta sepupu pula kepada Long Gaffar disebabkan cemburu buta berkisar kepada peristiwa sehelai kain cindai itu.

Oleh ahli-ahli sejarah, Peperangan ini masyhur dipanggil Perang Kota Kubang Labu pertama. Ia berlaku pada tahun 1757. disebut Perang Kota Kubang Labu adalah kerana pada masa serangan ini dibuat, kawasan pusat Ibu Kota Kerajaan Kelantan yang merupakan tempat bersemayam Raja-raja Kelantan adalah bernama Kota Kubang Labu. Inilah sebab mengapa peperangan ini sangat dikaitkan dengan nama Kota Kubang Labu itu. selepas peristiwa ini, Raja Long Abdul Rahman melantik adinda Long Muhammad pula iaitu Long Pandak Menjadi Raja Negeri Kelantan.
Pemandangan Masjid Al Ismaili berhampiran kawasan Tapak Kota Kubang Labu di Pasir Pekan Kota Bharu, Kelantan sekarang.


Disaat berlakunya Perang Kota Kubang Labu pertama ini, Long Yunus putera tunggal Al-Marhum Raja Long Sulaiman yang telah mangkat dibunuh oleh Raja Long Abdul Rahman sewaktu ketika dahulu itu telah lari dari Kota Kubang Labu dan berlindung diri dengan Mandur Mis sepupunya itu diKota Jelasin dari diburu oleh tentera Raja Long Abdul Rahman. Pada waktu berlindung inilah, tidak lama kemudian setelah selesai peperangan tersebut, Long Yunus kembali bertemu dengan sahabat karibnya Long Gafar, putera Raja Reman dengan ditemani Penghulu Adas yang singgah melawat Mandur Mis yang ketika itu kedua- duanya dalam perjalanan ke Terengganu bagi memenuhi undangan Yg. Dipertuan Terangganu Sultan Mansur, untuk mengalahkan cabaran Panglima Bugis dalam suatu peristiwa Sabungan Ayam dimana Taruhanya melibatkan separuh Negeri Terengganu, mulai dari Seberang Takir hingga keKuala Setiu. 

Disinilah juga; Long Yunus, Long Gafar, Mandur Mis dan Penghulu Adas bersepakat untuk bersama-sama keTerengganu dalam menjayakan misi ini. Singkat cerita, setelah kejayaanya mengalahkan Panglima Bugis dalam cabaran sabungan ayam sekaligus telah menyelamatkan separuh Negeri Terengganu dari tergadai kepada Panglima Bugis termaklum, maka pada masa inilah mereka telah mendapat berita diKelantan apabilah Raja Long Pandak yang telah memerintah Kelantan dengan serakah lagi zalim telah membangunkan Angkatan Perang dengan bergabung bersama sekutunya Raja Long Abdul Rahman Baginda Raja Legeh buat menyerang Terengganu.

Serangan ini adalah kerana semata- mata didorong syak wasangka terhadap Long Yunus diTerengganu yang seolah-olah baginya sedang mengatur langkah untuk mendapatkan semula Takhta Kerajaan Ayahndanya setelah dibunuh dan dirampas oleh Raja Long Abdul Rahman. Oleh kerana jasa serta kebaktian menyelamatkan Negeri Terengganu dari Panglima Bugis, maka tidak sulit bagi empat sahabat ini mendapatkan bantuan Ketenteraan daripada Terengganu bagi menyerang Long Pandak dan Raja Long Abdul Rahman serta Pembesarnya Panglima Umar diKota Kubang Labu.


Selepas mengatur persiapan rapi, Angkatan Perang Terengganu yang dipimpin Long Yunus, Long Gafar, Mandur Mis dan Penghulu Adas berangkat menuju keKelantan melalui Jalan Laut, lalu menyerang Benteng Kota Kubang Labu pada waktu malam serta mengalahkanya dengan ketiga-tiganya terbunuh dalam serangan ini. Sebaik sahaja Peperangan ini selesai, Long Yunus atas persetujuan ramai ditabal menjadi Raja Kelantan yang baharu dengan bergelar Yg. Dipertuan Kelantan.

Bagi mengenang jasa jasa yang telah membantu baginda Long Yunus, Long Gafar telah dilantik menjadi Mangkubumi bergelar Engku Seri Maharaja Perdana Menteri dengan dianugrahkan kawasan mulai dari Pasir Tumbuh hingga ke laut, ketimur hingga ke sempadan Terengganu, keBarat hingga ke Sungai Kelantan, memerintah selaku Pesuruhjaya. manakala Mandur Mis dikurniakan gelaran dengan bergelar Engku Mendahari Seri Maharaja Wangsa dan dianugrah memerintah seluruh kawasan Tanah Lundang serta Jembal. Penghulu Adas pula telah diberi gelaran Penghulu Menteri Seri Bija D’Raja dan dianugrahkan sebuah kawasan disebelah hulu tebing Sungai Nilam Puri. Turut sama dalam perlantikan ini adalah Raja Langsureng daripada Hulu Pulau Tanah Merah bergelar Engku Pahlawan Seri Maharaja Dalam yang diberi kuasa memerintah kawasan Tanah Merah. peristiwa ini berlaku pada tahun 1762.
Kompleks Balai Islam Lundang, Kota Bharu ini telah menjadi mercu tanda atau Landmark rasmi bagi Kampung Lundang sekarang. Kompleks ini menempatkan pusat utama agensi Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan selain juga mempunyai sebuah Dewan besar serbaguna yang kebiasaannya hanya digunakan pada majlis majlis rasmi Kerajaan dan agensinya.


Sejurus selepas selesai Istiadat Penganugrahan ini, Mandur Mis kemudian berpindah berbuat Kampung ditanah Lundang. disinilah, dipingir Sungai Lundang yang menghubungkan Sungai Kelantan disebelah Barat dengan Laut disebelah timur. Sungai yang menjadi laluan utama pada zamannya, Beliau mendirikan sebuah Kota tempat Kediamanya yang dipanggil masyhur sebagai Kota Pengkalan Rambai Lundang, Memerintah Kampung serta melantik Orang kanannya yang bernama Awang Besar menjadi Penghulu yang pertama diKampung Lundang.
Keadaan sekitar Pengkalan Rambai  yang terletak ditebing muara Sungai Lundang yang semakin uzur dan sempit. Perhatikan pada disebelah kiri gambar, kelihatan sebuah bangunan pusat tahfiz sedang dalam pembinaan yang  mengadap kearah Sungai Lundang. Dikatakan oleh orang orang tua tempatan ditapak bangunan itulah asalnya terletak Pengkalan Rambai ditebing sungai. Dan tidak jauh dari Pengkalan Rambai inilah arah dihujung gambar terletaknya pula lokasi tapak Kota Pengkalan Rambai Lundang. kawasan ini sekarang terletak dalam kawasan Kampung Bawah Lembah Bunut Payong.


Mandur Mis yang telah terkenal juga dengan panggilan Tuk Ku Lundang ini kemudian mangkat pada tahun 1790 didalam usia yang lanjut. Jenazahnya telah diMakamkan dikawasan sebelah paling timur Kampung Lundang yang sekarang terletak diLorong Iman Lundang, oleh kerana Mandur Mis dimakamkan disini, maka sebuah Surau telah didirikan oleh saorang Ulama’ pada zamannnya bernama Kyai Agam Jingga yang datang dari Tanah Seberang dan menjadi Imam kepada Mandur Mis pada waktu Mandur Mis menjadi Raja Lundang. dikalangan masyarakat Penduduk Lundang, Kyai Agam Jingga lebih terkenal dengan panggilan Tok Jingga. oleh kerana Surau dan Makam Mandur Mis terletak dikawasan yang sama, maka kawasan ini dikenali Langgar Surau Tok Jingga. tempatnya sebagai Raja Lundang telah digantikan oleh Puteranya bernama Tuan Lebar yang kemudian dilantik pula sebagai Pembesar Tertinggi Negeri pada tahun 1800 oleh Sultan Muhammad I sebagai Panglima Perang bergelar Dato' Panglima Perang Lundang yang masyhur dalam sejarah Kelantan dengan panggilan Dato' Panglima Perang itu. 


Sumber rujukan;

a) Peringatan Lundang, Imam Haji Tuan Fakeh Abdullah Ahad 1908 (Salinan Manuskrip).
b) Hikayat Dato’ Lela Seri Paduka Raja, Haji Umar Bin Abdullah 1889 (Salinan Manuskrip).
c) Ringkasan Chetera Kelantan, Haji Nik Mahmud Ismail 1933
d) Riwayat Kelantan, Zahir Ahmad; Analisis Teks, Interteks, Tesis PHD, Universiti Malaya 1997.
e) Inilah kisah Negeri Terengganu Berperang Dengan Kelantan – Sebuah Sejarah Kelantan Dari Terengganu, Dato’ Nik Muhamed Bin Nik Mohd Salleh, Warisan Kelantan XII 1993
f) Iktisar Sejarah Kelantan, Abdul Razak Mahmud 2002

Artikel ini pernah diterbitkan dalam sebuah majalah bersiri berjudul Seni Beladiri Bil 112 April 2015 oleh Sdr. Long Muhammad merangkap Timb. Setiausaha PKDLK 



ARKIB PERTUBUHAN KERABAT DATO' LUNDANG KELANTAN
Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama