Sabtu, 21 Januari 2023

JALAN KOTA PENGKALAN RAMBAI LUNDANG


Papan tanda nama jalan ke kawasan tapak bersejarah Kota Pengkalan Rambai Lundang ini di pasang letak di salah satu cabang laluan keluar masuknya berhampiran dengan Jalan Raya Kota Bharu - Kuala Krai di Jambatan no 1 Bunut Payong (atas tebing sungai sebelah kiri jambatan Bunut Payong iaitu dari Kota Bharu ke Wakaf Che Yeh).

Pemasangan papan tanda nama jalan ini jika mengikut tarikh pada papan tanda itu ialah pada selepas daripada siapnya naik taraf penurapan kembali sebahagian dari jalan tersebut pada 6.10.2022 yang lalu yang mana sebelum ini jalan tersebut tidak pernah mempunyai papan tanda nama jalan secara khusus bahkan juga tidak pernah dilakukan permohonan pengazetan rasmi nama jalan tersebut sebelum ini.

Nama jalan yang baru digazet dan ditanda namakan pada papan tanda nama jalan sebagai "Jalan Kota Pengkalan Rambai" ini bukan dari cadangan atau usulan daripada pihak Pertubuhan PKDLK. Tetapi sebaliknya adalah inisiatif sendiri daripada pihak berkuasa negeri dibawah rancangan Sistem Maklumat Rekod - Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS). Dengan adanya papan tanda nama jalan ini dapatlah nama tempat bersejarah yang telah lama tenggelam ditelan zaman ini kembali diangkat seterusnya dapatlah masyarakat umum lebih lebih lagi pada warga mukim Bunut Payong dan Lundang serta juga di sekitarnya mengetahui dan mengenali akan wujudnya suatu ketika dahulu sebuah kota bersejarah yang sangat berkait dengan sejarah dan salasilah Kampong Lundang itu.


- Sejarah Ringkas -

Mengikut catatan sejarah Lundang, Kota Pengkalan Rambai Lundang dibina pada tahun 1762 oleh Tuan Khomis yang terkenal masyhur dengan panggilan Mandur Mis selepas daripada menerima penganugrahan daripada sepupundanya iaitu DYMM Sultan Long Yunus selaku Raja Pemerintah Kelantan bergelar sebagai Yang Dipertuan Kelantan pada ketika itu. Mandur Mis dilantik menjadi mendahari negeri dengan dikurniakan gelaran sebagai Engku Mendahari Seri Maharaja Wangsa serta dikurniakan kuasa memerintah ke atas kawasan seluruh jagat tanah Lundang.

Selepas menjunjung duli, Mandur Mis segera berangkat ke tanah Lundang bersama pengikut setia dan sekelian rakyatnya untuk membuka dan berbuat kampung dengan mendirikan kota istana tempat duduknya dimana pada waktu itu tanah Lundang dan seluruh kawasan sekitarnya masih tidak berpenghuni. Kampung dan Kota Pengkalan Rambai Lundang ini dibina dengan berhampiran dan mengadap kearah Sungai Lundang yang pada waktu itu sungai adalah merupakan laluan jalan perhubungan utama.

Rentetan seluruh kawasan kampung ini yang bentuk geografi muka buminya adalah bertanah Lundang, maka dari sini lahirlah sebuah kampung dinamai dan dikenali sebagai Kampung Lundang. Kampung ini pada zaman awalnya sudah pon menjadi sebuah kampung besar dan kependudukannya yang begitu ramai. Perkara ini sepertimana telah dinyatakan dalam sumber lama sejarah Kelantan didalam buku Ringkasan Citra Kelantan tahun 1933 karangan Dato' Perdana Menteri Paduka Raja Nik Mahmud Bin Wan Ismail (Menteri Besar Kelantan) iaitu disebut bahawa pada zaman Yg. Dipertuan Tengku Muhammad memerintah Kelantan antara dalam tahun 1795 hingga tahun 1799, Kampung Lundang pada waktu itu sudah pun merupakan sebagai sebuah "kampung besar dan rakyat pun ramai".

Mengikut catatan sejarah Lundang pula, tanda sempadan kampung Lundang adalah bermula dari Lubuk Mulong disebelah timur hingga ke cabang sungai Lundang (sekarang dalam kampong Bunut Payung berhampiran belakang Sekolah Kebangsaan Bunut Payong) disebelah barat, Tebing sungai Lundang di sebelah selatan hingga ke Padang Kenali, Padang Bayam dan Talipot di sebelah utara. Lubok Mulong adalah merupakan salah satu lubuk besar yang berada di dalam sungai Lundang dan terletak tepi sebelah kiri Jambatan Pasir Hor dari arah cabang empat Pasir Hor, Kubang Kerian menghala ke Kampong Padang Engang.

Selepas Kota Pengkalan Rambai Lundang ini siap dibina, Mandur Mis segera meninggalkan tempat persemayaman lamanya di Kota Jelasin dan berpindah untuk bersemayam di Kota Pengkalan Rambai Lundang ini. Manakala Kota Jelasin pula telah diduduki oleh baginda Long Ghaffar sementara menunggu Kota Limbat untuk siap dibina.

Bermula dari Mandur Mis, Kota Pengkalan Rambai Lundang menjadi tempat persemayaman rasmi turun temurun Raja raja Lundang (baca: pembesar Lundang) selaku salah seorang pembesar tertinggi negeri Kelantan sehinggalah selepas peristiwa bersejarah angin besar di Kelantan pada tahun 1880an apabila Raja Lundang ketika itu, iaitu Dato' Lundang telah merombak dan memindahkan Kota Pengkalan Rambai Lundang ini ke suatu tempat baharu yang terletak arah di selatan Padang Lundang yang mana sekarang sebahagian tapak kota yang baharu ini adalah terletaknya kompleks Balai Islam Lundang.

Manakala kemudian dalam dekad yang sama setelah Kota Pengkalan Rambai Lundang dirombak dan dipindahkan, tapak Kota Pengkalan Rambai Lundang dan sekitarnya bermula dari cabang Sungai Lundang hingga ke Lubuk Mabo (Jambatan Tengku Muhammad Maasom sekarang) dan ke Belukar yang merupakan sebahagian dalam Kampung Lundang telah diserahkan kepada Penghulu Salamah yang dilantik oleh Dato' Lundang untuk menjadi penghulu di Kampung Bunut Payong yang sebelum itu adalah penghulu di Kampong Lundang. Sejak dari itulah kawasan ini menjadi sebahagian dalam Kampung Bunut Payong dan kekal sehingga sekarang.

Tapak Kota Pengkalan Rambai Lundang sekarang adalah terletak dalam kawasan mukim Bunut Payong dalam Kampong Bawah Lembah Bunut Payong inilah. Mutakhir sebelum dekad 10 tahun lepas, hanya pada waktu itu segelintir dikalangan orang orang tua peringkat usia lewat 70 - 80an sahaja yang mengetahui akan kewujudan sejarah nama Pengkalan Rambai ini. Maka dengan adanya papan tanda nama jalan ini, sangat kena dan bertepatanlah tidak lain sebagai untuk mengenang akan wujudnya sebuah kota bersejarah yang telah dirombak pada 135 tahun dahulu.

Nota: Sungai Lundang sekarang digazet rasmi dan dikenali dengan nama Sungai Lubuk Mulong. Dalam banyak catatan sejarah Lundang sungai ini dahulu secara zaman berzaman dikenali dan dinamai sebagai Sungai Lundang kerana alirannya sebahagian besar melalui kawasan bertanah Lundang. Alirannya dari Sungai Kelantan melalui kuala masuknya di belakang Kota Lama (dahulunya dikenali kawasan Kota Pengkalan Leser atau Kota Galuh) berdekatan Jambatan Sultan Yahya Petra dan menghilir bersambung dengan Sungai Pengkalan Datu. Walaubagaimana pon aliran dari kualanya di Kota Lama dan Kampong Sireh sekarang telah tertimbus dan hanya menjadi sebuah parit berkonkrit sahaja.

Selasa, 13 Jun 2017

Teks Ucapan Alu Alauan Oleh Yg. Dipertua PKDLK Sempena Perasmian Mesyuarat Agung PKDLK Kali Yang Pertama 2015

Bismillahir Rahmanir Rahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Yang Dihormati Pengerusi Majlis, Yang Berhormat Mejar (B) Dato’ Haji Mad Anizam Bin Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan. Ybhg. Prof. Kol. (B) Dr. Wan Fauzi Bin Wan Ibrahim, Penasihat Pertubuhan Kerabat Dato’ Lundang Kelantan merangkap Pengerusi Kawasan Rukun Tetanga KRT Lundang. Ahli – ahli Jemaah Jawatankuasa Pertubuhan Kerabat Dato’ Lundang Kelantan, Waris-waris utama, Kerabat Tua-tua, tetamu tetamu Kehormat dari waris Kerabat dari Kerabat Raja Jembal, Kerabat Tuan Lembut serta hadirin hadirat ahli ahli Kerabat Dato' Lundang yang dirahmati Allah sekelian.

Terlebih dahulu saya merakamkan jutaan Terima kasih kepada Yang Berhormat Mejar (B) Dato’ Haji Mad Anizam Bin Abdul Rahman selaku Exco Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Negeri, kerana sudi hadir untuk merasmikan Mesyuarat Agong kali Pertama bagi Pertubuhan Kerabat Dato’ Lundang Kelantan atau ringkasnya PKDLK, yang mana baru sahaja telah diluluskan Pendaftarannya oleh Pihak Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 7 julai yang lepas.

Untuk makluman Yang Berhormat Dato’ serta Hadirin hadirat sekelian, Tertubuhnya PKDLK ini selain daripada matlamat bertujuan untuk memelihara dan memperjuangkan warisan sejarah yang masih tersisa dari terus tenggelam ditelan zaman,  ia juga adalah merupakan satu wadah penyatuan silaturrahim waris keturunan Al marhum Tuan Khomis Bin Tuan Kundur, yang mana selain daripada Kampung. Lundang dan kawasan sekitar daerahnya dalam Kelantan, keturunan Al marhum ini juga banyak bertebaran diluar negeri antaranya Terengganu, Johor serta negara Singgapura dan Brunei. 

Matlamat  untuk merapatkan kembali hubungan silaturahim antara waris-waris keturunan Tuan Khomis melalui penubuhan PKDLK ini bertepatanlah dengan kehendak Firman allah didalam surah An Nisa’ ayat pertama yang bermaksud; “....Wahai sekelian manusia, bertaqwalah kepada tuhanmu yang telah menjadikan kamu diri yang satu yakni Adam, dan yang menjadikan daripada Adam itu pasangannya yakni isterinya Hawa, dan yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada allah yang selalu kamu minta dengan menyebut – nyebut namanya, dan peliharalah hubungan silaturrahim diantara kaum kerabat, kerana sesungguhnya allah sentiasa memerhati kamu....”
YM. Yg Dipertua PKDLK, Tuan Haji Wan Yusoff Bin Mohd Noor (sebelah kiri gambar)

Sidang hadirin yang dihormati sekelian, Al marhum Tuan Khomis Bin Tuan Kundur yang masyhur dalam sumber-sumber lama sejarah Kelantan yang digelar Mandur Mis atau Tuk Ku Lundang adalah Tokoh yang bertangungjawab membuka dan mengasaskan Kampung Lundang ini pada tahun 1762 masehi bersamaan 1176 hijriah, iaitu dua ratus lima puluh tiga tahun yang lampau. Beliau tidak lain adalah sahabat seperjuangan kepada tiga orang tokoh penting iaitu Al marhum Yg. Dipertuan Long Yunus, Pengasas Kesultanan Kelantan sekarang yang merupakan sepupundanya, Engku Perdana Menteri Long Gaffar serta Penghulu Adas. Keempat-empat tokoh penting inilah yang meletakkan asas penyatuan Kelantan kekal berpanjangan sehingga sekarang. Dari Mandur Mis ini, maka lahirlah generasinya, menyambung legasi serta berbakti kepada negeri sekaligus pemeliharaan bagi kestabilan keamanan negeri Kelantan dengan menjawat jawatan pembesar negeri sebagai Panglima Perang bergelar Dato’ Panglima Perang Lundang, suatu jawatan tertinggi sekali dalam hirarki pemerintahan tradisional negeri Kelantan setaraf dengan Pembesar Berempat dinegeri – negeri Melayu barat.

Didalam konteks Lundang pula, selepas daripada perjanjian sulit British - Siam pada tahun 1902, Peranan yang dimainkan oleh Dato' Lundang kian terhakis sehinggalah apabila sistem Pentadbiran Tradisional Negeri Kelantan pula dimansuhkan secara rasmi pada tahun 1910, dimana sistem lama ini telah digantikan dengan suatu sistem baharu yang telah diperkenalkan oleh Penasihat British diKelantan sebagaimana yang telah dibuat pada Negeri-negeri Melayu barat. semenjak dari itu Dato' Lundang selaku pembesar tertinggi negeri merangkap sebagai Raja Lundang yang menguasai daerah Lundang sebagai Penguasa telah hilang kuasa, hak dan keistimewaan sebagai seorang Pembesar dengan menerima pencen seumur hidop sebanyak 200 Ringgit sebulan sehinggalah mangkat pada tahun 1926. selepas daripada itu dalam semua aspek kebudayaan dan sejarahnya telah mula tenggelam sedikit demi sedikit sehinggalah penghujung abad ke 20 dimana kita boleh l;ihat sejarah dan identiti Lundang telah lenyap terus dimata Sejarah.

Namun begitu, Al hamdulillah, dengan izin Allah SWT, 20 tahun lebih kebelakangan ini timbul satu usaha untuk memelihara warisan sejarahnya yang giat dilakukan beberapa aktivis Sejarah Lundang angkatan pertama yang diketuai oleh Allahyarham Cikgu Mad Abbas, dimana pada tahun 1990an, Beliau bersama-sama rakannya mengambil inisiatif dengan mengusulkan kepada pihak berkuasa tempatan supaya menukarkan nama sebatang jalanraya yang sebelumnya dipanggil Jalan Yaakubiah kepada nama Jalan Dato’ Lundang dengan nama baru ini berkekalan sehingga sekarang. dan mutakhir ini, muncul pula angkatan kedua Aktivis Sejarah Lundang terdiri dari aktivis keturunan Kerabat Dato’ Lundang yang bergerak atas nama Kerabat Warisan Wan Nik Lundang yang digerakkan oleh Sdr. Long Muhammad.

Berkat dengan kerjasama serta sokongan dan dokongan juga dari KRT Lundang yang dipengerusikan oleh Ybhg. Prof. Kol. (B) Dr. Wan Fauzi Bin Wan Ibrahim yang juga Penasihat PKDLK, beberapa usaha untuk memertabatkan warisan Sejarah Lundang telah giat dan berjaya dilakukan antaranya; Program Bicara Sejarah Lundang dengan menampilkan beberapa ahli sejarawan Kelantan yang terkenal serta Menaiktaraf nama- nama dibeberapa batang jalan dalam Kawasan Lundang dengan nama tokoh dari keturunan Mandur Mis. Untuk ini saya mengambil kesempatan mengucapkan jutaan penghargaan terima kasih atas usaha yang talah dilakukan oleh Sdr. Long Muhammad dan Ybhg. Prof. Kol. (B) Dr. Wan Fauzi Bin Wan Ibrahim selaku Pengerusi KRT Lundang atas keprerihatinan mereka dalam memertabatkan warisan Sejarah Lundang. Terima kasih diucapkan.
Bergambar kenangan bersama Yb. Dato' Mejar (B) Dato’ Haji Mad Anizam Bin Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan serta tetamu kehormat dari PKRJK Ym. Nik Abdullah Nik Talib yang merupakan Ahli Jawatankuasanya

Hadirin hadirat yang dimuliakan, akar daripada ini, maka muncullah satu inisiatif bagi mewujudkan satu Pertubuhan untuk memelihara warisan sejarah dan budayanya secara khusus serta juga untuk menyatukan kembali silaturahim dikalangan waris – waris keturunan Al-marhum Tuan Khomis Bin Tuan Kundur dibawah satu payung dengan mengadakan Kebajikan serta memprtingkatkan taraf sosio ekonomi setiap ahlinya. Hasil cetusan ini, maka lahirlah satu pertubuhan Ngo yang dikenali dengan nama “Pertubuhan Kerabat Dato’ Lundang Kelantan” atau singkatannya PKDLK. Nama Dato’ Lundang sengaja dipilih kerana bagi mengenang kembali beliau sebagai pembesar Lundang terakhir. 

Sebelum daripada Dato’ Lundang, leluhurnya dahulu adalah berpanggilan Dato’ Besar, Dato’ Mekong, Dato’ Panglima Perang dan Mandur Mis. Untuk makluman berkaitan, Inisiatif untuk menubuhkan Pertubuhan ini adalah sebenarnya cadangan daripada Sdr. Shafie Husin, guru silat yang juga Setiausha Pertubuhan Seni Silat Gayuman Segerak Kelantan atau ringkasnya PSSGSK yang banyak juga terlibat dalam usaha memertabatkan warisan Sejarah Lundang sehingga terbitnya sebuah buku khusus bagi Sejarah Lundang pada tahun lepas bertajuk; Sejarah & Tokoh Kampung Lundang, Tradisional dan Moden. kesungguhan beliau dalam usaha memartabatkan Warisan Sejarah Lundang ini juga amat dipuji dan dihargai, untuk itu juga kami dari PKDLK mengucapkan penghargaan ribuan terima kasih.

Sidang hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekelian, Sebenarnya ditempat kita yang sedang mengadakan Majlis yang cukup bersejarah ini adalah sebenarnya merupakan Tapak asal sebuah Kota tempat kediaman dua orang Pembesar Lundang iaitu tidak lain adalah Al marhum Dato’ Lundang dan Al marhum Orang Kaya Panglima Amar D’raja Lundang Wan Ishak. dikawasan inilah juga, lahirnya Silat Seni Ku Ngah yang diasaskan oleh dua orang cucunda Dato’ Lundang iaitu Ym. Al marhum Nik Abdullah dan Ym. Al marhum Nik Abdul Rahman atau lebih terkenal denagn panggilan Pak Nik Man yang telah diperturunkan ilmu oleh mahagurunya bernama Tengku Ngah Bin Tengku Jaafar, seorang Kerabat Draja Terengganu yang mengembara keKelantan. Dari Pak Nik Man, melalui murid kesayanganya, Allahyarham Husin Bin Isa inilah kemudian telah memperkembangkan lagi warisan Silat seni ini dengan mengasaskan pertubuhan silat dengan nama Pertubuhan Silat Seni Gayuman Segerak Kelantan. Dari rentetan yang telah mengingatkan kita akan kawasan ini, maka amat bersesuaianlah PKDLK mengadakan Mesyuaratnya ditempat yang cukup bersejarah ini berkesinambungan mengambil warisan salasilahnya.

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mewakili PKDLK ingin merakamkan ucapan “Jazakallah Hu Khiron Kasira” dan terima kasih diatas kesudian Yang Berhormat Dato’ Haji Mad Anizam Bin Abdul Rahman kerana sudi memenuhi jemputan kami untuk merasmikan Mesyuarat Agung PKDLK bagi kali yang pertama ini, dimana ia adalah merupakan hari yang cukup bersejarah bagi PKDLK itu sendiri.



Sekian, Wa’Billahi Taufiq Wal Hi’Dayah, Wassalamualaikum w.b.k.t.

(28 syawal 1436 bersamaan 15 Ogos 2015)


ARKIB PERTUBUHAN KERABAT DATO' LUNDANG KELANTAN

‘’Mandur Mis – Tokoh Yang Tenggelam Dalam Lipatan Sejarah Perang Kota Kubang Labu II Kelantan’’


Secara umumnya bagi yang pernah mengikuti atau membaca Sejarah Kelantan pada pertengahan abad 18, terutama kepada salah sebuah episod besar yang penting, iaitu Perang Kota Kubang Labu II, yang berlaku diantara tahun-tahun 1759 hingga 1762 sudah mengetahui dan dimaklumi, bahawa apa yang tercatat dalam sejarah Perang Kubang Labu II itu telah dikaitkan dengan dua tokoh ini, iaitu Long Yunus dan Long Gafar.

Namun demikian, sebenarnya ada dua tokoh lagi yang memainkan peranan penting ini, ia tenggelam hingga kedasar yang jauh, hingga kita sekarang hanya mengenali dua tokoh ini sahaja iaitu Long Gafar dan Long Yunus, sangat mungkin keadaan ini disebabkan dek kerana Pengkaji-pengkaji ataupun Penulis –penulis Sejarah zaman lampau tidak menitik beratkan dua tokoh lagi yang tenggelam ini, atau mungkin  juga atas sebab mereka tidak menjumpai maklumat yang berkaitan. Namun demikian, natijahnya sekarang dapat kita lihat dua tokoh yang tenggelam ini hanyalah berperanan tidak lebih sebagai watak pembantu sahaja. Tidak sebagai watak penting disebabkan keadaan penulisan zaman lampau itu.

Dua Tokoh lagi yang dimaksudkan tenggelam ditelan zaman ini ialah Mandur Mis dan Penghulu Adas. Tetapi daripada dua tokoh yang tenggelam ini, Penulis ingin mengetengahkan salah seorang diantara kedua mereka sahaja, iaitu tidak lain ialah tokoh yang dipanggil Mandur Mis. Namun begitu, tidaklah Penulis membelakangkan terus tokoh yang tidak diketengahkan yang seorang lagi itu, iaitu Penghulu Adas, memandangkan Penghulu Adas namanya sebaris dengan nama Long Yunus, Long Gafar dan Mandur Mis didalam Sejarah Peperangan Kota Kubang Labu kali ke dua ini, ditambah pula ia sebenarnya tidak lain adalah merupakan adik ipar kepada Mandur Mis sendiri. 
Terkenal dengan Pangilan Mandur Mis adalah kerana pada waktu selepas beliau pulang berkelana dari Sumatra dan Lingga telah membawa pulang dengan beberapa ratus Orang Hamba terdiri daripada Orang-orang dari Lingga, lalu kemudian dipersembah kepada Raja Kelantan pada waktu itu yang merupakan Ayahnda Saudaranya bernama Long Sulaiman sebagai Hadiah. Mengenangkan persembahan Hadiah dari Anak Saudaranya itu, Maka Raja Long Sulaiman menghadiahkan kembali dengan separuh daripada persembahan Hadiah oleh Mandur Mis tadi serta meminta beliau untuk menjaga dan mengawasi Hamba- hambanya sekali bagi pihaknya. Dari sinilah maka beliau terkenal dengan pangilan Mandur Mis.

Mis ialah singkatan kepada nama sebenarnya yang bernama Tuan Khomis Bin Tuan Kundur. Ayahndanya Tuan Kundur atau Raja Long In yang Bergelar Raja Muda atau kadang kadang dipanggil juga Raja diKota Seneng ini adalah Putera sulong kepada Paduka Seri Tuan Besar Long Baha dari isteri keduanya Permaisuri Raja Pah Binti Al marhum Sultan Omar Raja Jembal. Ertinya dengan kata lain, Tuan Kundur adalah “Saudara Sebapa” dengan Raja Long Sulaiman yang telah menaiki takhta Kerajaan Kelantan selepas Ayahndanya Paduka Seri Tuan Besar Long Baha mangkat pada tahun 1733 serta Tuan Kundur sendiri pada tahun 1734. hinggalah apabila baginda mangkat dibunuh pada tahun 1756 oleh Menantunya Raja Long Abdul Rahman, yang merupakan seorang Raja yang memerintah Legeh, sebuah negeri yang bersempadan disebelah barat Negeri Kelantan yang kini terletak dalam wilayah Thailand.

Selepas Raja Long Sulaiman mangkat, Pengaruh Raja Long Abdul Rahman ini mula menguasai Pentadbiran Politik Tradisional Kelantan dengan melantik “Anak suakanya”, iaitu Long Muhammad Merajai Negeri Kelantan. namun tidak lama, Long Muhammad kemudian mati terbunuh ditangan Raja Long Abdul Rahman pula. Serangan yang turut disertai oleh angkatan Raja Negeri Reman yang diketuai puteranya bernama Long Gaffar ini terjadi disebabkan Long Muhammad telah bertindak menikam isterinya Engku Tengah iaitu Adinda kepada Raja Long Abdul Rahman sendiri serta sepupu pula kepada Long Gaffar disebabkan cemburu buta berkisar kepada peristiwa sehelai kain cindai itu.

Oleh ahli-ahli sejarah, Peperangan ini masyhur dipanggil Perang Kota Kubang Labu pertama. Ia berlaku pada tahun 1757. disebut Perang Kota Kubang Labu adalah kerana pada masa serangan ini dibuat, kawasan pusat Ibu Kota Kerajaan Kelantan yang merupakan tempat bersemayam Raja-raja Kelantan adalah bernama Kota Kubang Labu. Inilah sebab mengapa peperangan ini sangat dikaitkan dengan nama Kota Kubang Labu itu. selepas peristiwa ini, Raja Long Abdul Rahman melantik adinda Long Muhammad pula iaitu Long Pandak Menjadi Raja Negeri Kelantan.
Pemandangan Masjid Al Ismaili berhampiran kawasan Tapak Kota Kubang Labu di Pasir Pekan Kota Bharu, Kelantan sekarang.


Disaat berlakunya Perang Kota Kubang Labu pertama ini, Long Yunus putera tunggal Al-Marhum Raja Long Sulaiman yang telah mangkat dibunuh oleh Raja Long Abdul Rahman sewaktu ketika dahulu itu telah lari dari Kota Kubang Labu dan berlindung diri dengan Mandur Mis sepupunya itu diKota Jelasin dari diburu oleh tentera Raja Long Abdul Rahman. Pada waktu berlindung inilah, tidak lama kemudian setelah selesai peperangan tersebut, Long Yunus kembali bertemu dengan sahabat karibnya Long Gafar, putera Raja Reman dengan ditemani Penghulu Adas yang singgah melawat Mandur Mis yang ketika itu kedua- duanya dalam perjalanan ke Terengganu bagi memenuhi undangan Yg. Dipertuan Terangganu Sultan Mansur, untuk mengalahkan cabaran Panglima Bugis dalam suatu peristiwa Sabungan Ayam dimana Taruhanya melibatkan separuh Negeri Terengganu, mulai dari Seberang Takir hingga keKuala Setiu. 

Disinilah juga; Long Yunus, Long Gafar, Mandur Mis dan Penghulu Adas bersepakat untuk bersama-sama keTerengganu dalam menjayakan misi ini. Singkat cerita, setelah kejayaanya mengalahkan Panglima Bugis dalam cabaran sabungan ayam sekaligus telah menyelamatkan separuh Negeri Terengganu dari tergadai kepada Panglima Bugis termaklum, maka pada masa inilah mereka telah mendapat berita diKelantan apabilah Raja Long Pandak yang telah memerintah Kelantan dengan serakah lagi zalim telah membangunkan Angkatan Perang dengan bergabung bersama sekutunya Raja Long Abdul Rahman Baginda Raja Legeh buat menyerang Terengganu.

Serangan ini adalah kerana semata- mata didorong syak wasangka terhadap Long Yunus diTerengganu yang seolah-olah baginya sedang mengatur langkah untuk mendapatkan semula Takhta Kerajaan Ayahndanya setelah dibunuh dan dirampas oleh Raja Long Abdul Rahman. Oleh kerana jasa serta kebaktian menyelamatkan Negeri Terengganu dari Panglima Bugis, maka tidak sulit bagi empat sahabat ini mendapatkan bantuan Ketenteraan daripada Terengganu bagi menyerang Long Pandak dan Raja Long Abdul Rahman serta Pembesarnya Panglima Umar diKota Kubang Labu.


Selepas mengatur persiapan rapi, Angkatan Perang Terengganu yang dipimpin Long Yunus, Long Gafar, Mandur Mis dan Penghulu Adas berangkat menuju keKelantan melalui Jalan Laut, lalu menyerang Benteng Kota Kubang Labu pada waktu malam serta mengalahkanya dengan ketiga-tiganya terbunuh dalam serangan ini. Sebaik sahaja Peperangan ini selesai, Long Yunus atas persetujuan ramai ditabal menjadi Raja Kelantan yang baharu dengan bergelar Yg. Dipertuan Kelantan.

Bagi mengenang jasa jasa yang telah membantu baginda Long Yunus, Long Gafar telah dilantik menjadi Mangkubumi bergelar Engku Seri Maharaja Perdana Menteri dengan dianugrahkan kawasan mulai dari Pasir Tumbuh hingga ke laut, ketimur hingga ke sempadan Terengganu, keBarat hingga ke Sungai Kelantan, memerintah selaku Pesuruhjaya. manakala Mandur Mis dikurniakan gelaran dengan bergelar Engku Mendahari Seri Maharaja Wangsa dan dianugrah memerintah seluruh kawasan Tanah Lundang serta Jembal. Penghulu Adas pula telah diberi gelaran Penghulu Menteri Seri Bija D’Raja dan dianugrahkan sebuah kawasan disebelah hulu tebing Sungai Nilam Puri. Turut sama dalam perlantikan ini adalah Raja Langsureng daripada Hulu Pulau Tanah Merah bergelar Engku Pahlawan Seri Maharaja Dalam yang diberi kuasa memerintah kawasan Tanah Merah. peristiwa ini berlaku pada tahun 1762.
Kompleks Balai Islam Lundang, Kota Bharu ini telah menjadi mercu tanda atau Landmark rasmi bagi Kampung Lundang sekarang. Kompleks ini menempatkan pusat utama agensi Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan selain juga mempunyai sebuah Dewan besar serbaguna yang kebiasaannya hanya digunakan pada majlis majlis rasmi Kerajaan dan agensinya.


Sejurus selepas selesai Istiadat Penganugrahan ini, Mandur Mis kemudian berpindah berbuat Kampung ditanah Lundang. disinilah, dipingir Sungai Lundang yang menghubungkan Sungai Kelantan disebelah Barat dengan Laut disebelah timur. Sungai yang menjadi laluan utama pada zamannya, Beliau mendirikan sebuah Kota tempat Kediamanya yang dipanggil masyhur sebagai Kota Pengkalan Rambai Lundang, Memerintah Kampung serta melantik Orang kanannya yang bernama Awang Besar menjadi Penghulu yang pertama diKampung Lundang.
Keadaan sekitar Pengkalan Rambai  yang terletak ditebing muara Sungai Lundang yang semakin uzur dan sempit. Perhatikan pada disebelah kiri gambar, kelihatan sebuah bangunan pusat tahfiz sedang dalam pembinaan yang  mengadap kearah Sungai Lundang. Dikatakan oleh orang orang tua tempatan ditapak bangunan itulah asalnya terletak Pengkalan Rambai ditebing sungai. Dan tidak jauh dari Pengkalan Rambai inilah arah dihujung gambar terletaknya pula lokasi tapak Kota Pengkalan Rambai Lundang. kawasan ini sekarang terletak dalam kawasan Kampung Bawah Lembah Bunut Payong.


Mandur Mis yang telah terkenal juga dengan panggilan Tuk Ku Lundang ini kemudian mangkat pada tahun 1790 didalam usia yang lanjut. Jenazahnya telah diMakamkan dikawasan sebelah paling timur Kampung Lundang yang sekarang terletak diLorong Iman Lundang, oleh kerana Mandur Mis dimakamkan disini, maka sebuah Surau telah didirikan oleh saorang Ulama’ pada zamannnya bernama Kyai Agam Jingga yang datang dari Tanah Seberang dan menjadi Imam kepada Mandur Mis pada waktu Mandur Mis menjadi Raja Lundang. dikalangan masyarakat Penduduk Lundang, Kyai Agam Jingga lebih terkenal dengan panggilan Tok Jingga. oleh kerana Surau dan Makam Mandur Mis terletak dikawasan yang sama, maka kawasan ini dikenali Langgar Surau Tok Jingga. tempatnya sebagai Raja Lundang telah digantikan oleh Puteranya bernama Tuan Lebar yang kemudian dilantik pula sebagai Pembesar Tertinggi Negeri pada tahun 1800 oleh Sultan Muhammad I sebagai Panglima Perang bergelar Dato' Panglima Perang Lundang yang masyhur dalam sejarah Kelantan dengan panggilan Dato' Panglima Perang itu. 


Sumber rujukan;

a) Peringatan Lundang, Imam Haji Tuan Fakeh Abdullah Ahad 1908 (Salinan Manuskrip).
b) Hikayat Dato’ Lela Seri Paduka Raja, Haji Umar Bin Abdullah 1889 (Salinan Manuskrip).
c) Ringkasan Chetera Kelantan, Haji Nik Mahmud Ismail 1933
d) Riwayat Kelantan, Zahir Ahmad; Analisis Teks, Interteks, Tesis PHD, Universiti Malaya 1997.
e) Inilah kisah Negeri Terengganu Berperang Dengan Kelantan – Sebuah Sejarah Kelantan Dari Terengganu, Dato’ Nik Muhamed Bin Nik Mohd Salleh, Warisan Kelantan XII 1993
f) Iktisar Sejarah Kelantan, Abdul Razak Mahmud 2002

Artikel ini pernah diterbitkan dalam sebuah majalah bersiri berjudul Seni Beladiri Bil 112 April 2015 oleh Sdr. Long Muhammad merangkap Timb. Setiausaha PKDLK 



ARKIB PERTUBUHAN KERABAT DATO' LUNDANG KELANTAN

Isnin, 15 Mei 2017

Ringkasan Salasilah Kampung Lundang Serta Pemerintahan Tradisionalnya Sebelum 1909


PENGENALAN


         Blog ini adalah bertujuan untuk membangkit dan menerangkan kembali sebuah sejarah yang telah ''dilupakan'' iaitu sejarah serta salasilah Kampung Lundang  yang mana  melibatkan dua zaman iaitu zaman Tradisional dan zaman Moden. tumpuan khas juga diberikan kepada sejarah Raja-raja Kampung Lundang yang merupakan Pembesar- pembesar tertinggi Negeri sebagai Panglima Perang yang mempunyai wilayah pentadbiran yang dikuasainya secara turun temurun sebagai Penguasa diDaerah Lundang dari peringkat awal bermula pada tahun 1800 hingga kepada yang terakhir pada tahun 1910. Dokumen atau Rujukan yang digunakan adalah melibatkan dua cara iaitu melalui hasil temu ramah dengan penduduk tempatan serta bersumber daripada rujukan monograf dan manuskrip sepertimana yang telah dipaparkan dihujung blog ini. 

ASAL USUL DAN PERKEMBANGAN AWAL KAMPUNG LUNDANG


             Kampung Lundang adalah salah satu dari perkampungan melayu yang tua di dalam zon bandar Kota Bharu, Ibu Negeri Kelantan sekarang. jika dihitung usianya mulai dari tahun pembukaanya pada tahun 1762 sehingga tahun 2017, usianya sudah pun mencecah 255 tahun. sama juga dengan Perkampungan-perkampungan Melayu yang lain, Kampung Lundang juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri. 

Asal - usul Kampung Lundang ini mendapat nama datang dari beberapa pendapat. antaranya adalah pendapat pertama mengatakan bahawa nama Kampung Lundang ini beroleh namanya dari sebab kedapatan suatu pokok yang bernama pokok Lundang.
Pendapat kedua pula mengatakan ia beroleh namanya sempena kawasan tanah atau bentuk muka buminya yang berbentuk tebing tinggi dan rendah iaitu tanah tinggi yang menurun kebawah dan hasil daripada bentuk ini lalu dipanggilah ianya Lundai atau Landai. daripada perkataan Lundai atau Landai inilah di''Bahasakan'' oleh penduduk Tempatan menjadi satu dialek Kelantanese menjadi ''Lundea'' (Lundang). 

Pendapat ketiga pula mengatakan perkataan Lundang ini adalah salah satu Dialek bahasa yang banyak digunakan pada zaman dahulu kala. maksud kepada perkataan Lundang ini iaitu kawasan pinggiran tebing Sungai yang lembah mendatar luas dan keadaan bentuk muka buminya yang berlopak. 

Diantara ketiga-tiga pendapat ini nampaknya arah yang lebih tepat adalah lebih cenderung kepada pendapat yang ketiga itu. ini kerana pendapat yang ketiga ini disokong dengan satu fakta yang sekurang-kurangnya tidak mudah disanggah. dengan merujuk kepada Buku Katan Kamus Melayu oleh Haji Muhammad Said Bin Haji Sulaiman terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka 1997 muka surat 853 (edisi jawi) ada menyebut perkataan Lundang iaitu bermaksud kawasan tanah leku' tempat (kawasan) air bertakung kemudian jadi lubuk yang cetek. 

Bukti atau kesan kapada kedua-dua kenyataan diatas iaitu pendapat ketiga dan sumber daripada buku Katan Kamus Melayu ini boleh dilihat hingga kini dibeberapa kawasan khususnya dibahagian pinggiran Sungai Lundang, bawah lembah Kampung Lundang, Kampung Bawah Lembah Bunut Payong dan Kampung Belukar.
                                                                                    
                                                                                 
  Salah satu Lubuk yang masih terdapat sehingga sekarang dan ianya terletak kawasan Pingiran Sungai Lundang diKampung Bawah Lembah Bunut Payung. kebanyakkan Lubuk-lubuk dikawasan lain termasuk diBawah Lembah Kampung Lundang sekarang sudah tertimbus. namun, kesan kesannya masih tetap ada.
   
                                                                                  
Keadaan Sungai Lundang sekarang tidak lagi sepertimana zaman kegemilangannya dimana muara sungainya dahulu adalah dalam dan luas. Pemandangan Sungai Lundang diKampung Lundang dari Jambatan Jalan Tengku Muhammad Maa'sum (Jalan Baru Teliput-Pasir Hor) sekarang. perhatikan juga ''Lundang'' iaitu kawasan dikiri dan kanan pinggiran tebing Sungai yang pada suatu ketika dahulu adalah kawasan penanaman padi

Menurut riwayat serta maklumat dari sebuah Manuskrip lama, pada zaman awal perkembangan Kampung Lundang ini wujud, iaitu mudah dimengertikan sebagai Kampung Lundang Tradisional, kependudukan Masyarakat Kampung Lundang Tradisional ini asalnya mejoriti banyak tertumpu atau terletak dikawasan yang lembah berhampiran dengan pinggiran Sungai Lundang iaitu dibawah lembah Kampung Lundang sekarang dan ia melebar  hingga keSekolah Kebangsaan Bunut Payung sekarang yang mana pada waktu itu seluruh kawasan ini adalah merupakan Kampung Lundang Tradisional.

Kawasan Penempatan Masyarakat Kampung Lundang Tradisional ini adalah menghadap kearah sungai Lundang atau sekarang disebut Sungai Lubuk Mulong yang merupakan jalan perhubungan utama serta laluan perdagangan maritim yang penting pada waktu itu yang menghubungkan Sungai Kelantan melalui Sungai Pengkalan Galuh atau Pengkalan Leser Kampung Sireh disebelah barat dengan Laut melalui Sungai Pengkalan Datu dan Kuala Pantai Kemenyan disebelah timur.

Selain daripada termasuk kawasan yang disebutkan diatas ini, dimana kawasan batas sempadan Kampung Lundang Tradisional keseluruhannya adalah bermula dari kawasan yang sekarang ini bermula dari sebelah selatan tebing Sungai Lundang atau sekarang disebut Sungai Lubuk Mulong hingga kesempadan Kampung Bayam disebelah utara, kawasan Sekolah Kebangsaan Bunut Payung (merujuk tandaan kepada sempadan asalnya iaitu cabang Sungai diBunut Payung yang terletak bersetentang dengan belakang Sekolah Kebangsaan Bunut Payong) disebelah Barat hingga keLubuk Mulong iaitu terletak diJambatan Jalan Pasir Hor  disebelah Timur (berhampiran simpang empat Pasir Hor Jalan Sultan Yahya Petra). 

Walaubagaimana pun pada akhir abad 19, sebahagian kawasan Kampung Lundang Tradisional ini terutama dibahagian Barat telah mulai wujud atau timbul kepada beberapa buah nama-nama Kampung baru  seperti Kampung Paya Senang, Kampung Kesina Dua, Kampung Belukar dan Kampung Bawah Lembah Bunut Payong. manakala disebelah utara kawasan Kampung Lundang tradisional pula terbentuknya kampung Padang Lundang, Kampong Telok Lundang dan Kampong Banggu. perkembangan ini berlaku secara berperingkat peringkat. Baru menjelang pada mutakhir abad 20 ini pula adalah terbentuknya Kampung Aman Lundang yang kawasannya juga terletak disebelah barat Lundang diantara Kompelks Sekolah Rendah Zainab hingga kesimpan Jalan Dato Panglima Perang disebelah timur berhampiran dengan premis kedai Nasi Kak Wook Lundang, sebuah kedai makan antara yang sangat masyhur diKota Bharu sekarang. 

Bukti dengan kependudukan masyarakat Kampung Lundang Tradisional ini boleh dibuktikan dengan adanya beberapa kubur lama yang ''seusia'' dengan usia Kampung Lundang Tradisional. setakat yang dapat dikesan, tanah-tanah perkuburan ini  sesetengahnya masih digunakan lagi yang kebanyakannya terdapat dibawah lembah iaitu kesemuanya enam tempat, empat daripadanya adalah terletak di kawasan Kampung Lundang sekarang dengan satu daripadanya pula  adalah terletak diatas tebing bawah lembah, iaitu terletaknya Makam Raja-Raja Kampung Lundang, selebihnya iaitu tiga tempat lagi adalah terletak dibawah lembah dengan satu daripadanya pula terletak dibahagian selatan sebelah kawasan Perumahan Taman Restu. manakala dua tempat lagi adalah terletak dibelakang Sekolah Kebangsaan Bunut Payung sekarang.


SEJARAH PEMBUKAAN KAMPUNG LUNDANG DAN TERTUBUHNYA DAERAH LUNDANG

         
          Sejarah telah merakamkan bahawa Kampung Lundang telah dibuka dan diasaskan pada tahun 1762 oleh seorang tokoh ternama yang masyhur dalam sumber lama sejarah Kelantan pada masa Perang Kota Kubang Labu ke-II yang terkenal dengan nama Mandur Mis. baginda yang berhubungan talian sepupu dengan Yg. Dipertuan Long Yunus telah menjadi Raja Kampung Lundang pertama dan telah dilantik menjadi Pembesar Tertinggi dalam hieraki Negeri pada masa itu bergelar Engku Mendahari Seri Maharaja Wangsa bersama sama dengan Long Gafar bergelar Engku Seri Maharaja Perdana Menteri, Penghulu Adas bergelar Penghulu Menteri Seri Bija D'Raja dan Raja Langsuring bergelar Engku Pahlawan Seri Maharaja Dalam oleh Yg. Dipertuan  Long Yunus selepas disytihar Baginda menjadi pemerintah negeri Kelantan secara rasmi pada tahun berkenaan -1762-. 

Baginda Mandur Mis atau nama sebenarnya Tuan Khomis yang kadang kala dipanggil Tuk Ku ini adalah tidak lain saudara tua kepada Che' Tuan Namah (isteri Penghulu Adas), Tuan Wan Ramat dan Tuan Membunga iaitu putera-puteri kepada Raja Muda di Kota Seneng yang bernama Tuan Kundur atau Raja Long Ain iaitu anaknda sulong yang berpangkat Raja Muda kepada Al-marhum Raja Tuan Besar Long Baha, Raja pemerintah Kelantan 1725 - 1733 dari isterinya yang kedua iaitu Permaisuri Raja Pah Binti Al-marhum Sultan Omar Jembal
                
Pertubuhan Kerabat Dato' Lundang Kelantan atau PKDLK telah ditubuh dan didaftarkan secara rasmi pada tahun 2015 bertujuan dan bermatlamat untuk menjaga sosio kebajikan ahli ahli keluarga keturunan Al marhum Baginda Tuan Khomis serta memelihara tinggalan warisan sejarahnya

Pada waktu Mandur Mis menjadi Raja Kampung Lundang telah melantik orang kanannya yang bernama Awang Besar menjadi Penghulu yang pertama diKampung Lundang. pada tahun 1790 selepas daripada mangkatnya Al-marhum Mandur Mis, tempat baginda sebagai Raja kampung Lundang telah disandang oleh puteranya bernama Tuan Lebar.  Tidak lama selepas itu, menjelang tahun 1800, selepas tamatnya Perang besar dalam sejarah Kelantan yang dikenali sebagai Perang Kelantan - Terengganu, Tuan Lebar telah dilantik oleh Sultan Muhammad - I sebagai Pembesar Tertinggi Negeri sebagaimana tarafnya ditempat Al marhum Tuan Khomis Ayahndanya dahulu, namun dijawatan yang berlainan iaitu sebagai Panglima Perang negeri dengan bergelar Dato' Panglima Perang Lundang. turut diselingkan bersama sama dalam perlantikan ini adalah dikurnia juga untuk berkuasa memerintah luar dari sekitar kawasan Kampung Lundang yang bermula Pengkalan Sungai Kampung Wakaf Stan ditimur  hingga kesungai Kampung Sireh disebelah barat, tebing sungai Lundang disebelah selatan hingga kePaya Rambai disebelah utara. kawasan - kawasan ini kemudian terkenal sebagai ''Daerah Lundang'' mengambil sempena pusat pentadbirannya yang terletak dikampung Lundang. dengan ini maka bermulalah Daerah Lundang yang mempunyai sistem pentadbiranya yang tersendiri dibawah pemerintahan yang dipegang oleh Raja-raja Kampung Lundang bermula dengan Tuan Lebar. peanugrahan oleh Sultan Muhammad I ini adalah bagi mengenang jasa- jasa mereka yang banyak membantu Baginda dalam perebutan Takhta Kelantan dengan pihak Terengganu semasa tercetusnya Perang Kelantan - Terengganu itu. berikut dibawah adalah susunan pembesar tertinggi sebagai Pembesar peringkat pusat di Kelantan dapat dilihat apabila Sultan Muhammad I melantik 7 orang pembesar terpenting iaitu:

  1. Long Jenal digelar Raja Bendahara
  2. Long Ismail digelar Raja Muda
  3. Long Yusof digelar Raja Bukit Panchor
  4. Long Muda digelar Engku Kota
  5. Long Tan digelar Raja Temengong Aria Pahlawan
  6. Tuan Lebar digelar Dato Panglima Perang Lundang
  7. Wan Abdullah digelar Dato Kaya Hulubalang Kadok 

Baginda Tuan Lebar telah beristerikan Engku Che' Nik iaitu puteri sulong kepada Baginda Long Gafar. dari perkahwinannya ini mendapat tiga orang putera iaitu Wan Ku Sulong, Wan Ku Abdullah dan Wan Ku Sulaiman serta seorang Puteri yang bernama Tuan Bulat atau Ku Aminah iaitu Nenda kepada Dato Maha Menteri Kelantan Che' Had. Tuan Lebar yang kemudian lebih dikenali dengan gelaran Dato' Panglima Perang ini mangkat pada tahun 1830, tempatnya telah digantikan oleh puteranya iaitu Wan Ku Sulong dengan gelaran  Dato' Panglima Perang Lundang yang ke-II dan dipangil masyhur Dato' Mekong iaitu singkatan dari gelaran anugrah Kerajaan Siam ''Phra Chou Mekong Phaya Lundang'' sehingga mangkat pada tahun 1846. selepas daripada Dato' Mekong mangkat, maka tempatnya telah digantikan oleh puteranya iaitu Wan Senik Besar pula memerintah Daerah Lundang dengan bergelar Dato' Panglima Perang Lundang yang ke-III. baginda yang masyhur dipangil rakyat dengan nama Dato' Besar ini mangkat pada tahun 1867 dan digantikan pula oleh menantu Dato' Besar bernama Nik Wan Musa yang juga adalah tidak lain merupakan anaknda sepupu kepada Al marhum.

Nik Wan Musa yang telah memegang gelaran tertinggi Kelantan sebagai Dato' Panglima Perang Lundang yang ke-IV ini adalah putera kepada Dato Lela Perkasa Muda Wan Hassan Bin Wan Ku Sulaiman, seorang Pembesar Kelantan menjawat jawatan sebagai Panglima Dalam menetap diKampung Pasir Jelatang yang terletak tidak jauh disebelah timur sekitar Kampung Lundang. menakala datuknya - Wan Ku Sulaiman adalah anaknda bongsu kepada Al marhum Dato Panglima Perang dan merupakan Panglima Dalam sebelumnya bergelar Dato Lela Perkasa Tua. 

Makam Raja - raja Lundang diLorong Imam Lundang yang terletak berhampiran dengan tebing bawah lembah Kampung Lundang sekarang. Pada masa dahulunya kawasan ini dipanggil Langgar Surau Tok Jingga, berhadapan dengan gambar ini mulai disebelah kiri adalah makam Al-marhum Mandur Mis (Tuk Ku) dan disebelah kanan adalah makam Al-marhum Dato' Mekong. manakala dibelakang kudua-dua makam ini ialah bersetentang dengan makam Al-marhum Mandur Mis iaitu makam Al-Marhum Dato' Panglima Perang dan disebelah kanannya (tengah) adalah makam Al-marhum Dato' Besar  dan disebelah kanan makam Al-marhum Dato' Besar  itu pula adalah Makam Al-marhumah Engku Cik Nik Binti Long Gafar isteri kepada Dato' Panglima Perang (tiada belindan) 

KEWUJUDAN KAMPUNG LUNDANG MODEN SERTA KAMPUNG-KAMPUNG BARU MENJELANG AKHIR ABAD KE19      


              Nik Wan Musa ini kemudian sangat masyhur dikalangan rakyat dengan panggilan Dato' Lundang iaitu suatu panggilan rasmi yang telah ditetap oleh Sultan Muhammad II pada tahun 1869 bersama sama dengan panggilan Dato' Kadok. bermula pada tahun tersebut ini, nama nama panggilan rasmi bagi Pembesar - pembesar yang mempunyai wilayah pentadbiran diseluruh Negeri telah diseragamkan dengan lebih kemas dan teratur yang mana sebelumnya adalah tidak wujud dan ditetapkan sendiri oleh setiap Pembesar. Pada waktu zaman Dato' Lundang memerintah Daerah Lundang, khususnya pada Kampung Lundang telah mengalami kemajuan dan pola perubahan penempatan yang ketara dimana salah satunya ialah pembukaan kawasan baharu penanaman padi iaitu kawasan yang sekarang ini bermula dari My Bank Lundang hingga keKampung Bayam mengantikan tempat lama iaitu kawasan tebing sungai Lundang yang telah tercemar, tidak selamat serta berpenyakit akibat daripada ternakan mati dan reput natijah daripada Peristiwa Angin Besar diKelantan tahun 1880 dan diikuti bencana Alam berikutnya pada tahun 1881 hingga tahun 1884 atau sesetengah riwayat pula menyebut hingga tahun 1886 yang mana telah menyebabkan terjadinya Wabak penyakit berjangkit seperti Taun, malaria dan lain-lain lagi.


Jalan Dato' Lundang adalah bermula dari simpang empat berhadapan Kompleks Islam Darul Naim Lundang (Balai Islam Lundang) hingga membawa keutara iaitu kesimpang Cherang, Panji. lewat sebelum tahun 1990 Jalan ini masyhur dipanggil Jalan Yaacobiah. Penukaran penamaan jalan ini adalah bagi maksud mengabdikan nama Tokoh besar  Negeri Kelantan ini bagi menghargai jasa-jasa besarnya dalam negeri kepada kalangan masyarakat Kelantan umumnya serta rakyat Malaysia amnya.

Akibat daripada peristiwa ini, kebanyakan penduduk Kampung Lundang Tradisional ini terutama penduduk dikawasan bawah lembah Kampung Lundang sekarang dan dikawasan sekitarnya telah berbuat penempatan baru (berpindah daripada kawasan bawah lembah kapada kawasan tanah tinggi) yang sekarang inilah terletaknya Kampung Lundang iaitu Kampung Lundang Moden. Dan pada waktu terkemudian daripada itu, baharulah penduduk Kampung Lundang Tradisional  khususnya dibahagian barat  telah berpecah serta mulai wujud menjadi beberapa kelompok masyarakat akibat kesan disebabkan terpisahnya daripada pengaruh Pentadbiran Penghulu Kampung Lundang Moden itu sendiri. 

Seterusnya daripada beberapa kelompok itu, maka dari sinilah timbulnya nama-nama kampung yang baharu seperti kewujudan kepada nama Kampung Bawah Lembah Lundang (sekitar kawasan taman restu sekarang), Kampung belukar, Kampung Paya Senang, Kampung Kesina Dua dan Kampung Bawah Lembah Bunut Payong (pecahan daripada Kampung Bawah Lembah Lundang pada awal abad ke20). walaubagaimana pun kelima-lima Kampung ini masih lagi terletak didalam Daerah Lundang yang dibawah pemerintahan Dato' Lundang termasuklah Kampung Bunut Payong yang dibuka pada akhir abad ke19 yang berawal mulanya sebagai sebuah unit Kampung kecil yang terletak kawasannya disekitar kawasan Masjid Mukim Bunut Payung hingga kesebelah barat kawasan Madrasah Ahmadiah sekarang  dengan menganjur ketebing Sungai Bunut Payong disebelah selatan.

PENUTUP


   Pada tahun 1909, akibat daripada Perjanjian British-Siam, maka peranan corak pemerintahan tradisional Daerah Lundang telah ditukar dan berubah kepada corak pentadbiran moden yang diperkenalkan oleh Penasihat British diKelantan. akibat daripada peristiwa ini, setahun kemudian pada tahun 1910 setelah dikuatkuasakan, Dato' Lundang telah diberi pencen seumur hidup sebanyak 300 ringgit sebulan sehinggalah membawa kepada mangkat pada tahun 1926 dan dimakamkan ditanah perkuburan besar kampung Lundang iaitu bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Lundang  sekarang. 

Dengan ini, selepas dari tahun 1910 secara rasminya Daerah Lundang telah ditadbir secara moden yang diketuai oleh seorang Ketua Daerah bergelar Kweng atau sekarang dipanggil Penggawa, suatu jawatan yang dahulunya terletak dibawah perintah dan dilantik oleh Raja raja Lundang yang mana kemudian ini telah dinaik taraf menjadi sebagai Ketua Daerah selaku wakil atau Penghubung antara kerajaan dengan rakyat yang diwakili Penghulu yang dilantik secara berterusan dari pihak kerajaan. 

Daerah Lundang ini berkekalan namanya sehinggalah pada tahun dekad 1970an apabila daerah ini telah dipecah (Persepadanan Semula) dan diganti dan diubahkan namanya menjadi Daerah Kubang Kerian. pentranformasian Daerah Lundang  ini adalah disebabkan daerah ini terlalu hampir dengan pusat bandar utama serta Kawasan Ibu Negeri Kelantan yang sentiasa mendesak untuk meluaskan kawasan pentadbirannya.


   Makam Raja Lundang -V atau terakhir, Al-marhum Dato' Lundang yang terletak disebelah Sekolah Kebangsaan Lundang telah diselenggara oleh pihak Muzium Negeri pada tahun 2013 yang lalu.



Sumber Rujukan:

§  Peringatan Lundang oleh Imam Hj. Tuan Fakeh Abdullah Bin Ahad 1326/1908 [salinan manuskrip]
§  Riwayat Kelantan,Zahir Ahmad= Analisis Teks,Interteks,Tesis Ph.D, Universiti Malaya,1997
§  Warisan Kelantan I,ms134 dibawah tajuk Kadok Satu Kajian Ringkas oleh Abdul Aziz Ismail, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan,1982
§  Kelantan Dari Zaman ke Zaman oleh Mohammad Husin Khal'e Hj.Awang,Pustaka Dian Kota Bharu 1970
§  Dokumentasi Sejarah & Aktiviti PSSGSK 1975-2010 oleh Shafie Husin 2012
§ Kelantan Dahulu Dan Sekarang, Perubahan Dalam Pentadbiran ms161,162 dibawah tajuk ''Kelantan Sehingga Tahun 1900: Peristiwa-Peristiwa Penting Dalam Sejarah '' oleh Abdullah Zakaria Bin Ghazali, Persatuan Muzium Malaysia 2007

ARKIB PERTUBUHAN KERABAT DATO' LUNDANG KELANTAN





Laman utama